Sempat laungkan azan sebelum dijmput illahi

SIK: Seorang bilal sukarela sempat menghabiskan laungan azan fardu isyak sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia di Masjid An-Nur FELDA Teloi Timur, Kuala Ketil, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.25 malam, Ahmad Saad, 68, yang juga seorang peneroka, dikatakan rebah ketika ingin melakukan solat sunat.

Saksi kejadian, Azhari Zakaria, 46, berkata ketika itu, jemaah masjid baru selesai membaca Yasin dan bersiap sedia untuk menunaikan solat isyak.

“Arwah kemudian bangun ke arah pembesar suara dan melaungkan azan seperti biasa. Selepas selesai melaungkan azan, arwah bergerak ke tepi mimbar masjid untuk solat sunat.

“Ketika ingin mengangkat takbir, arwah jatuh dan terus tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sik,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menceritakan lanjut, Azhari berkata, Allahyarham sering menawarkan diri untuk melaungkan azan di masjid itu, terutama pada waktu subuh.

“Memang setiap kali solat fardu, arwah akan berjemaah di masjid. Jika tiada orang azan, arwah akan menawarkan diri untuk melaungkan azan,” katanya.

Azhari yang juga penjaga masjid, turut menyifatkan Ahmad seorang yang lemah lembut dan suka membantu orang lain.

“Cara kematiannya sangat dicemburui yang mana saya sendiri menyaksikan muka arwah berseri-seri dan begitu tenang dengan ada sedikit peluh di dahi,” katanya.

Ahmad akan disembahyangkan di masjid itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Teloi Timur, kira-kira jam 11.30 pagi ini.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam akibat sakit tua.

“Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

sumber:beritaharian

Apa kata anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*