Hasrat Pahang jadi naib juara Liga Super tertangguh

KUALA TERENGGANU: Pasukan Pahang terpaksa menangguhkan hasrat muncul naib juara Liga Super musim ini lebih awal selepas terikat 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu, skuad Tok Gajah yang berbaki dua perlawanan lagi mengutip 37 mata manakala skuad Penyu kekal ditangga ketujuh liga dengan mengumpul 29 mata tatkala berbaki satu perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 19 Julai ini di tempat lawan.

Pada awal babak pertama aksi kedua-dua pasukan seimbang dengan beberapa percubaan menarik menerusi penyerang masing-masing namun gagal menemui sentuhan jaringan.

Memasuki minit kelapan perlawanan, Pahang hampir di depan menerusi rembatan kencang Lazarus Kaimbi dari dalam kotak penalti tetapi bola sedikit melepasi palang gol.

Hasil lambungan cantik Kipre Tchetche pada minit ke-17, skuad Penyu hampir membuka tirai jaringan, namun bola berjaya diselamatkan pertahanan, Muslim Ahmad biarpun penjaga gol, Remezy Che Ros sudah tertewas.

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh berpeluang mencetak nama sebagai penjaring gol selepas hanya berdepan Muhamad Ilham Amirullah Razali pada minit ke-41, namun penjaga gol itu lebih pantas menafikan percubaannya.

Penantian skuad Penyu untuk mendapatkan gol akhirnya berhasil melalui rembatan kencang Ahmad Syamim Yahya dari luar kotak penalti pada minit ke-42. Ia berpunca daripada hantaran Sanjar Shaakmedov yang singgah di kaki Tchetche sebelum Syamim mengambil peluang itu.

Ketinggalan satu gol, skuad Tok Gajah yang turun tanpa penyerang utamanya, Dickson Nwakaeme tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan.

Berpunca daripada hantaran Wan Zaharulnizam Zakaria kepada Sumareh pada minit ke-50, pemain kelahiran Gambia itu bijak memusing badan sebelum melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1. Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Apa kata anda?

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*